Artikel

Wan Suraya Dilantik Selaku Ketua Audit Negara Baharu – Berkuat Kuasa 13 Jun Ini 

Bermula 13 Jun ini, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi akan menggalas tanggungjawab selaku Ketua Audit Negara yang baharu – bagi menggantikan peranan yang dipegang Nik Azman Nik Abdul sebelum ini, telah bersara pada 13 Februari lalu.

Pelantikan ini sekaligus mententeramkan situasi semasa, ekoran sebelum ini terdapat perbincangan bahawa ketiadaan jawatan Ketua Audit Negara dilihat kurang relevan susulan laporannya dibentang pada sidang Parlimen minggu lalu. Maka adanya peneraju baharu, ini akan memudahkan pentadbiran negara meneliti dan membincangkan kembali isu ketirisan dana kerajaan yang berlaku sebelum ini.

Buat pengetahuan umum, Wan Suraya sebelum ini pernah berkhidmat selaku Ketua Setiausaha di Kementerian Perpaduan Negara bagi tempoh 2020-2021, diikuti Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bagi tempoh 2108 hingga 2020 serta Timbalan Ketua Setiausaha di MITI bagi tahun 2016 hingga 2018. Kini difahamkan beliau menggalas peranan selaku Ketua Pegawai Eksekutif bagi Institut Integriti Malaysia.