Artikel

Lebih 70% Produk Bukan Islam Miliki Sijil Halal, Bumiputera Hanya 16% – JAKIM

Tahukah pembaca ketika ini sekitar 165,026 produk daripada 229,204 jumlah produk di Malaysia yang miliki perakuan sijil Halal ini adalah produk yang dimiliki syarikat bukan Islam. Hanya 37,466 (16.34%) produk halal sahaja dimiliki syarikat bumiputera. 

Kenyataan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada laporan SH itu ternyata menunjukkan hampir 72% produk di negara memiliki sijil Halal merupakan hasil pengeluaran yang dimiliki syarikat bukan Islam. 

Rekod tahun 2021 sehingga 10 April 2023 ini jelas menunjukkan usaha syarikat bukan Islam meraih perakuan sijil Halal JAKIM terus meningkat dari semasa ke semasa. Untuk tahun ini sahaja, terdapat 21,448 produk bukan milik bumiputera telah berjaya meraih status Halal JAKIM berbanding 8,341 produk bumiputera. 

Malah turut didapati hanya 41% usahawan Bumiputera Islam sahaja yang berminat untuk meraih sijil tersebut.  Situasi ini secara jelas menunjukkan, masih terdapat kurang pendedahan berhubung kepentingan status halal dalam kalangan produk bumiputera.

Meskipun penghasilan produk tersebut mematuhi proses halal namun setiap pengeluar produk perlu ketahui – status halal tidak hanya tertumpu pada bahannya tetapi kaedah pengeluaran, cara pembungkusan, tahap kebersihan juga perlu diteliti untuk meraih perakuan sijil Halal JAKIM ini. Diharapkan lebih ramai syarikat produk bumiputera miliki kesedaran tersebut demi kepentingan pengguna.

Buat pengetahuan umum, kos laksana permohonan sijil halal di Malaysia memerlukan RM200. Di mana syarikat perlu miliki eksekutif halal yang akan bertindak mematau aturan pensijilan halal tersebut. Setelah meraih latihan dan proses dokumentasi barulah permohonan tersebut dihantar kepada JAKIM.