Memahami kegusaran orang awam akan kedudukan mata wang negara, yang dinilai pada paras sederhana berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) – Bank Negara Malaysia (BNM) bagaimanapun menjelaskan situasi itu tidak hanya terpalit pada mata wang negara tetapi turut memberi impak yang sama pada mata wang negara lain.
Menurut Penolong Gabenor BNM Adnan Zaylani pada sidang Sasana Symposium 2023 hari ini – tidak hanya Malaysia, bahkan negara seperti Thailand, Indonesia dan Australia turut menjadi antara negara mata wang terkesan.

Situasi ini didorong atas beberapa aspek global seperti ketidaktentuan kadar faedah relatif, perubahan inflasi relatif, kestabilan politik, serta tekanan psikologi pada sentimen pasaran.
Lebih terperinci, BNM menjelaskan kesan perubahan prestasi Ringgit ketika ini didorong pertumbuhan global yang lemah, risiko krisis antaranya seperti pelarasan kadar siling hutang AS baru-baru ini dan aliran ekonomi China lebih lemah berbanding apa yang dijangka turut memberi kesan kepada negara. Ini kerana negara turut bergantung pada aliran import bersama China. Secara tidak langsung turut memberi kesan kepada nilai Ringgit dan situasi itu turut memberi kesan kepada pilihan destinasi pelaburan para pelabur.
Berdasarkan perincian itu, ia bermakna tidak hanya pengukuhan dolar AS sahaja menjadi pencetus kepada penyusutan Ringgit pada pasaran semasa tetapi pelbagai faktor turut perlu diambil kira.