Artikel

KKM : RUU Kawalan Produk Merokok, Vape Bakal Dibentang 12 Jun Ini

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini memaklumkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 akan dibentang mulai 12 Jun pada sidang Parlimen kelak. 

Langkah bacaan pertama ini secara langsung akan membantu negara memperkasakan dua faktor utama iaitu memantau kawalan jualan produk merokok – ini meliputi jualan rokok elektronik atau vape. Dan seterusnya usaha negara melaksanakan agenda Generasi Penamat Rokok.

Untuk makluman sebelum ini RUU sedemikian telah dibentang pada 27 Julai 2022 lalu namun alami penangguhan susulan semakan semula. 

Melalui usaha ini ia secara langsung berupaya membantu negara melandaikan tanggungan kos kesan daripada amalan merokok. Tahukah pembaca Malaysia terpaksa membelanjakan RM6.2 bilion bagi merawat 3 penyakit berkaitan amalan merokok iaitu kanser paru-paru, penyakit jantung dan penyakit paru obstruktuf kronik (COPD). Jumlah ini lebih tinggi berbanding kutipan cukai produk tembakau yang diraih negara iaitu sekitar RM3 bilion. 

Dan sekiranya jualan rokok ini tidak dipantau, ini akan meningkatkan lagi kos perbelanjaan tersebut dijangka mampu melonjak sehingga RM8.8 bilion menjelang 2030 kelak.