Artikel

Pesta Buku Antarabangsa KL 2023 Mencatatkan Lebih 1.5 Juta Orang Pengunjung

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 telah pun melabuhkan tirai secara rasminya semalam, 4 Jun 2023, dan pada tahun 2023 ini, acara tahunan berkenaan berjaya mencatatkan rekod sekali lagi apabila berjaya mencatatkan rekod kehadiran seramai 1.5 juta orang pengunjung.

Ini adalah peningkatan berbanding rekod yang dicatatkan pada 2022 seramai 1.3 juta orang pengunjung. Pada awalnya, sasaran awal adalah kurang sedikit memandangkan tahun 2022 dianggap anomali selepas dua tahun tanpa Pesta Buku disebabkan Covid-19, tetapi dengan rekod kali ini, ia sekaligus memperlihatkan kaedah pemasaran yang turut menggunakan medium sosial seperti TikTok berjaya terus menarik lebih ramai menghadiri acara berkenaan.

Selari dengan kehadiran lebih ramai, pelbagai penjual dan pempamer pada acara Pesta Buku KL ini turut mengatakan kutipan mereka meningkat pada tahun 2023 ini berbanding tahun lepas.

Pada acara PBAKL 2023 yang telah melabuhkan tirai ini, seramai 256 pempamer telah menyertainya yang melibatkan sejumlah 814 reruai. Turut menyertainya adalah penyedia perkhidmatan langganan buku digital, Cereka.