Artikel

Malaysia Dijangka Tidak Berdepan Krisis Bekalan Air Semasa El Nino – SPAN

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memaklumkan negara dijangka tidak akan berdepan sebarang kekangan sumber air berikutan ramalan fenomena El-Nino yang disasar berlaku pada Jun hingga September kelak.

Ketika ini status bagi 43 empangan air diseluruh negara diperhatikan kekal stabil dengan mencatatkan paras air lebihi 90% dan hanya 7 empangan sahaja sedang dipantau secara berkala berikutan berlakunya penurunan paras air hampiir 50%. Namun penyusutan itu masih tidak mencapai paras amaran.

Usaha selanjutnya, SPAN akan terus memantau bekalan air pada empangan utama di Semenanjung dan kini telah menyediakan pelan kesiapsiagaan melibatkan kerjasama semua pihak termasuklah operator air – untuk berdepan kejutan sekiranya berlaku isu tidak diingini kelak. Melalui jaminan ini, ia sekaligus memberi kelegaan kepada pemain industri ekonomi khususnya kumpulan peniaga yang disasar berdepan tekanan kos disebabkan fenomena El-Nino.

Buat pengetahuan umum, tahun 1998 negara pernah berdepan krisis bekalan air akibat penyusutan beberapa empangan utama di Malaysia – susulan peristiwa itu, tindakan mencatu penggunaan air telah diselaraskan demi memastikan kelangsungan bekalan air tersedia untuk semua pihak.

El Nino atau disebut sebagai El Nino-Southern Oscillation (ENSO) adalah fenomena cuaca panas kering yang berlaku kesan pemanasan perairan meliputi Lautan Pasifik tengah dan timur. Kemasukan arus panas dari bahagian tengah telah membawa kesan kepada perubahan suhu permukaan laut lebih tinggi di bahagian timur. Ia secara langsung mendorong bahagian barat Pasifik meliputi Malaysia berdepan tekanan tinggi atmosfera mengakibatkan berlakunya cuaca lebih kering. Difahamkan fenomena ini berlaku pada setiap 2 tahun-7 tahun dan ia akan berpanjangan antara tempoh 6 bulan sehingga 18 bulan.