Artikel

KSM Pertimbang Semak Semula Akta Kerja 1955, Bagi Lindungi Hak Pelajar Praktikal 

Kementerian Sumber Manusia (KSM) kini menyatakan ketersediaan pihaknya untuk meneliti usul menyemak kembali Akta Kerja 1955 – bagi melindungi hak pelajar praktikal daripada ditindas ketika jalani latihan industri di pasaran Malaysia.

Seperti umum ketahui, ketika ini tiada perundangan khas yang dibentuk untuk mewajibkan majikan membayar elaun kepada para pelajar praktikal ketika jalani latihan industri. Tindakan itu sekaligus telah menyebabkan berlakunya eksploitasi ke atas tenaga pelajar praktikal di pasaran kerja negara.

Tambahan, tekanan kos semasa telah meruncingkan lagi permasalahan tunai dalam kalangan pelajar praktikal untuk meneruskan latihan industri mereka dalam tempoh tersebut. Susulan itu, mengikut laporan langkah KSM untuk sedia teliti saranan semakan Akta Kerja 1955 ini dilihat suatu aturan awal yang baik buat kumpulan pelajar praktikal.

Selain usaha penelitian cadangan ini, PM Anwar sebelum ini turut memaklumkan kerajaan sentiasa terbuka menerima sebarang usul semua pihak bagi mewujudkan sebuah akta khas untuk lindungi kebajikan para pelajar praktikal di masa hadapan. Langkah itu untuk makluman akan dilanjutkan setelah laporan penuh semakan KSM berhubung isu ini dikemukakan kelak.