Menjelang Oktober ini, Melaka merancang melancarkan Bank Inovasi Melaka – bagi membantu pentadbiran negeri mengkomersialkan produk inovasi serta reka cipta negeri ke peringkat yang lebih tinggi.
Usaha ini diperhatikan selari agenda Melaka untuk membangunkan Kampung Digital, iaitu menambah-baik sistem pengurusan penduduk bersama sokongan teknologi pada penyampaian perkhidmatan.
Menurut Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri – usaha bank inovasi tersebut akan melibatkan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Di mana bagi tindakan pengkomersialan, produk terlibat perlu didaftarkan pada Bank Inovasi Melaka dan dipatenkan – sebelum dihubungkan bersama agensi untuk tujuan pengkomersialan.
Ini bermakna usaha perluasan komersial produk negeri tidak hanya tertumpu kepada peniaga tempatan, tetapi peluang turut tersedia buat golongan muda, pelajar sekolah, penuntut IPT, kerajaan mahupun swasta.
Adanya usaha ini, ia tidak sekadar merancakkan lagi aktiviti ekonomi negeri tetapi turut membantu membuka peluang pengkomersialan yang lebih besar buat produk tempatan.