Artikel

Mulai 15 Jun – Proses Permohonan Visa Ekspatriat Dipendekkan Kepada 20 Hari 

Usai perbincangan pada sidang PEMUDAH kali ini, Kementerian Ekonomi kini mengumumkan sistem visa pekerja mahir asing bersepadu dijadualkan beroperasi pada 15 Jun kelak.

Aturan proses permohonan Pas Penggajian (EP) ini dimaklumkan akan bertindak mengurangkan kekangan sistem birokrasi yang berupaya menjejaskan kecekapan prestasi perniagaan tempatan berikutan proses kemasukan pekerja mahir asing di negara ini dilihat sedikit sukar.

Seperti yang umum ketahui, usaha ini meliputi permohonan visa baru dan pelaksanaan pembaharuan visa. Berdasarkan perincian, proses permohonan EP yang menggunakan sistem Xpats Gateway ini – dimaklumkan akan dijalan secara berperingkat.

Bagi fasa pertama, ia akan melibatkan pembangunan Xpats Gateway oleh TalentCorp. Manakala fasa kedua pula melibatkan agensi pelulus dan kawal selia seperti MDEC dan IRDA yang akan bertindak integrasi sistem sedia ada mereka bersama Xpats Gateway, selewatnya pada 15 Ogos kelak.

Jelas Kementerian Ekonomi, sistem bersepadu ini akan membolehkan proses permohonan visa ekspatriat dipendekkan dari 87 hari kepada hanya sekitar 20-22 hari sahaja. Sementara sektor utama dan penting akan diproses dalam tempoh 5 hari bekerja sahaja.

Usaha ini secara langsung mengurangkan isu birokrasi yang wujud di negara dan memudahkan kelulusan kemasukan bakat asing dalam Malaysia.

Ekspatriat – adalah pekerja mahir asing atau pegawai yang bekerja di negara asing.