Menyedari terdapat beberapa negeri yang masih menggunakan kadar tarif air yang sama dan tidak pernah disemak sejak lebih 20 tahun lalu, pentadbiran kini sedang laksana cadangan untuk menyemak semula kadar tarif air di Malaysia.
Langkah itu tidak hanya memperbaharui paras tarif air tetapi turut memastikan pulangan modal yang setimpal dapat diraih berasaskan kos operasi yang dibelanjakan.
Susulan cadangan tersebut, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) memperincikan penelitian kenaikkan tarif air ini dijamin tidak akan membebankan kumpulan yang kurang berkemampuan.
Buat pengetahuan umum, kadar tarif air negara ketika ini dilihat antara yang terendah – ini sekaligus mendorong kepada penggunaan air yang sangat tinggi menyebabkan berlakunya tabiat pembaziran air. Menurut Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sebelum ini – seorang rakyat Malaysia disasar gunakan sekitar 201 liter air setiap hari, penggunaan ini secara langsung melebihi 20% daripada paras digariskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Lebih menarik, penggunaan air rakyat Malaysia lebih tinggi berbanding Thailand (193 liter sehari), diikuti Singapura (151 liter). Maka melalui cadangan menyemak tarif air ini, ia secara langsung akan membantu negara menangani isu pembaziran air.