Artikel

Isu Elaun Pelajar Praktikal Tidak Dibayar, Kini Diteliti Kementerian Sumber Manusia

Sejak pertengahan Februari lalu, isu pembayaran elaun melibatkan pelajar praktikal telah mula mendapat perhatian pentadbiran. Kesan tekanan kos semasa, dilihat adalah wajar usul mewajibkan pembayaran elaun tersebut dilaksanakan ke atas semua pihak – antara swasta mahupun agensi kerajaan.

Mengambil maklum kepentingan isu ini pada kualiti pasaran pekerjaan negara, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjelaskan ketika ini Kementerian Sumber Manusia (KSM) sedang meneliti laporan tersebut. Setelah semakan itu dicapai, ia akan dikemuka kepada PM Anwar bagi perincian menyeluruh.

Selain meneliti laporan tersebut, PM Anwar turut menegaskan pihaknya akan meneliti sebarang cadangan semua pihak bagi mewujudkan sebuah akta khas untuk lindungan kebajikan para pelajar praktikal ketika lalui fasa latihan industri.

Difahamkan usaha semakan ini turut melibatkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menyemak sebarang kemungkinan serta kesan sebelum kewajipan elaun dilaksanakan dalam industri secara menyeluruh.