Baru sahaja pada awal Mac lalu arena menyaksikan usaha eFishery ke arah status Unikorn melalui perolehan pusingan pelaburan bernilai $150 juta yang diketuai Khazanah Nasional, iaitu dana kekayaan berdaulat Malaysia. Kini, syarikat Indonesia tersebut, secara rasminya telah mengesahkan sasaran tersebut dengan menjadi antara syarikat berstatus Unikorn baru di pasaran Asia Tenggara melalui suntikan pelaburan Siri D.
Status ini dicapai hasil kejayaan eFishery meraih pusingan pelaburan berjumlah $108 juta dalam pembiayaan siri D, mendorong penilaian operasi meningkat 3 kali ganda daripada $407 juta kepada AS$1.3 bilion. Buat pengetahuan umum, pusingan pelaburan ini diketuai 42xfund dan ia menyaksikan penyertaan daripada pelabur sedia ada Northstar Group dan SoftBank Vision Fund II.
Sekadar imbasan, eFishery sebelum ini pernah meraih pelaburan bernilai $115 juta meliputi $90 juta pada pusingan pembiayaan pada Siri C tahun lalu. Melalui usaha berganda tersebut, ia telah melengkapkan status mereka ke tahap Unikorn – secara langsung membantu arena teknologi pertanian terus meluas pada pasaran serantau.
Buat pengetahuan umum, eFishery telah dibangunkan sejak 2013 lagi di mana ia berperanan membantu petani Indonesia dalam mengendalikan pengurusan kolam ikan dan udang dengan lebih cekap, bersama sokongan teknologi akuakultur. Di mana para petani dapat memanfaatkan teknologi semasa melalui sokongan khidmat pengumpan automatik – antaranya melalui pergerakan ikan dan udang, khidmat eFishery dapat mengukur tahap keperluan makanan ternakan dari semasa ke semasa tanpa memerlukan pemantauan fizikal. Situasi ini sekaligus memudahkan lagi sistem pertanian tersebut dijalankan.
Setakat Mac lalu, difahamkan perkhidmatan eFishery ini memudahkan hampir 60,000 petani dengan menggunakan kepakaran mereka di 280,000 kolam ternakan. Mengikut sasaran antarabangsa pula, eFishery dijangka meluaskan jejaknya pada pasaran India tidak lama lagi.