Susulan isu gangguan disebabkan penginapan pelancong di kawasan perumahan serta kediaman yang berlarutan sejak April 2022 – Pulau Pinang kini menguatkuasakan serta-merta larangan ke atas semua bentuk sewa penginapan jangka pendek (STR) termasuklah tawaran di platform tempahan penginapan seperti Airbnb melibatkan unit hartanah kediaman persendirian.
Perkongsian Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MPPP) ini memperincikan larangan sedemikian meliputi semua hartanah kediaman persendirian sahaja.
Larangan ini tidak termasuk pada 6 jenis hartanah komersial yang terlibat seperti unit pangsapuri servis dan bahagian unit pejabat. Namun sekiranya pemilik premis ingin laksana penawaran STR pada hartanah komersial – pihak berkaitan perlu mendapatkan kelulusan badan pengurusan bersama (JMB) ataupun jawatankuasa pengurusan unit (MC).
Kelulusan itu perlu mendapatkan sekurangnya 75% undian bersetuju daripada penduduk unit lain pada sidang pengurusan. Selanjutnya JMB dan MC akan bertindak mengenakan yuran tahunan antara RM250 hingga RM500 setahun seunut bersama yuran pendaftaran sehingga RM250. Diikuti yuran tambahan seperti deposit keselamatan sehingga RM3,000 seunit.
Aturan ini juga memerlukan pemilik menyediakan dokumentasi bersama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Secara menyeluruh, setiap unit STR juga dimaklumkan hanya dibenarkan untuk disewa maksimum selama 180 hari setahun – dan ia terhad untuk penyewaan 3 hari seminggu sahaja. Melalui penguatkuasaan ini, semua pihak khususnya pemilik unit kediaman di Pulau Pinang diminta mengambil perhatian sekiranya ingin melanjutkan hasrat pada penawaran STR kelak.