MSM Malaysia Holdings Berhad dan Central Sugars Refinery (CSR) kini mendapat kebenaran kerajaan untuk mengeluarkan gula putih bertapis jernih pada harga yang ditentukan pasaran. Pelaksanaan ini sekaligus menjawab kepada penularan pembungkusan yang melabelkan gula premium di pasaran baru-baru ini.
Penguatkuasaan yang bermula hari ini bagaimanapun bukanlah tindakan menggantikan bekalan gula putih bertapis sedia ada (kasar dan halus) yang ketika ini masih ditetapkan pada harga kawalan oleh kerajaan iaitu RM2.85 sekilogram (kasar) dan RM2.95 sekilogram (halus) di pasaran negara.
Meskipun kebenaran menjual gula putih bertapis jernih (premium) ini dilaksanakan, namun syarikat pengeluar gula perlu mematuhi aturan yang ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Sekiranya pihak syarikat gagal menjamin pengeluaran gula putih sedia ada (kasar dan halus) mencukupi di pasaran – pihak berkaitan akan berdepan tindakan perundangan.
Buat pengetahuan umum, gula ialah barangan kawalan berjadual yang diperuntukkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. Susulan itu semua pihak pengeluar perlu turut aturan perundangan bagi memastikan keperluan pembelian pengguna terpelihara dan dilindungi.