Artikel

Kenaikan OPR, Bantu Landaikan Tekanan Harga Di Pasaran

Tindakan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) ke paras 3.00% bukan bertujuan meningkatkan bebanan rakyat Malaysia. Perdana Menteri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan (MOF) menjelaskan, kenaikan yang dilaksana MPC Bank Negara Malaysia (BNM) itu adalah tindak-balas negara untuk memperkukuhkan stuktur ekonomi negara.

Buat pengetahuan umum, meskipun perbankan akan menerima manfaat disebalik peningkatan pembayaran balik pinjaman susulan OPR naik, namun perlu diingat bank juga perlu membayar kadar faedah untuk simpanan yang lebih tinggi dan ini akan meningkatkan kos pendanaan mereka.

Jelas PM Anwar lagi, jika OPR terus kekal di paras terendah 1.75% seperti yang dilaksana pada 2020 – langkah itu akan menggandakan lagi aliran pinjaman yang terlalu tinggi, diikuti peningkatan perbelanjaan. Sekiranya dua situasi ini berterusan berlaku ia cenderung meningkatkan harga di pasaran susulan terdapat permintaan yang berterusan pada barangan serta perkhidmatan tatkala terdapat bekalan yang terhad.

Apabila berlakunya kenaikan OPR – ia akan membantu menyesuaikan permintaan kepada tahap yang lebih setara dengan bekalan dan seterusnya membantu mengurangkan tekanan terhadap kenaikan harga barangan.

Sebagai contoh sekiranya keadaan inflasi menjadi tidak terkawal, kuasa beli bagi semua isi rumah, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah, serta kuasa beli simpanan penabung dan pesara dijangka akan merudum akibat kenaikan harga yang mendadak. Maka, PM Anwar melihat impak kewangan dari segi kejatuhan kuasa beli akibat inflasi yang tinggi dan tidak terkawal adalah jauh lebih buruk dan meluas berbanding kesan daripada kenaikan OPR secara terkawal dan beransur-ansur pada 2022.

Menerusi pelarasan naik OPR ini, ia sekaligus akan membantu rakyat negara juga untuk laksana pembelian dengan lebih berhati-hati dan merangka perbelanjaan serta simpanan yang lebih baik di masa hadapan.

Buat pengetahuan pelarasan OPR di paras 3.00% bukanlah kali pertama didepani Malaysia. Paras ini pernah dilaksanakan pada tahun 2019 dan ini bermakna paras tersebut adalah paras normal sebelum berlakunya pandemik COVID-19.