Artikel

Tahap Keyakinan Perniagaan Di Malaysia Kini -3.1% – Sebilangan Sektor Dijangka Berdepan Cabaran Ekonomi

Petunjuk keyakinan dalam arena perniagaan di Malaysia kini dilihat menurun kepada -3.1% bagi suku kedua 2023. Angka ini lebih rendah berbanding suku pertama dengan peningkatan sekitar 3.6%. 

Buat pengetahuan umum tahap keyakinan ini diukur berlandaskan data Statistik Kecenderungan Perniagaan- Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), di mana meliputi jangkaan peniaga berhubung prestasi perniagaan di Malaysia dalam tempoh 3 bulan hingga 6 bulan mendatang. 

Data DOSM ini secara jelas menunjukkan peniaga kekal berhati-hati dalam menjangkakan prestasi mereka pada bulan-bulan mendatang. Jangkaan tersebut akan membantu peniaga, mengenalpasti faktor persediaan yang wajar diberi tumpuan.

Petunjuk keyakinan adalah rujukan jangka pendek yang merumuskan pandangan keseluruhan persekitaran perniagaan dalam pelbagai sektor di Malaysia. Ia merangkumi purata jumlah imbangan bersih bagi pembolehubah terpilih.

Maka susulan petunjuk keyakinan menurun, secara langsung jangkaan berhubung prestasi perniagaan dalam masa pendek juga telah beralih kepada pesimistik iaitu jangkaan prestasi lebih positif sedikit menyusut. 

Antara sektor ekonomi yang memaklumkan akan berdepan cabaran pada suku kedua 2023 adalah sektor Pembinaan, Perdagangan Boronf & Runcit dan Industri. Di mana tahap keyakinan prestasi sektor Pembinaan kini merundum mencatatkan -26.9%, sementara sektor Perdagangan Borong & Runcit (-10.2%) dan sektor Industri pula  -2.1%. Melalui perincian itu didapatii sektor Pembinaan dan sektor Perdagangan Borong & Runcit dijangka miliki prestasi perniagaan yang kurang menggalakkan dalam tempoh 6 bulan mendatang iaitu sehingga September 2023 kelak. 

Namun sebaliknya sektor Perkhidmatan masih kekal optimis apabila petunjuk keyakinan iaitu kekal positif dengan peningkatan 3.9%. Situasi ini bermakna sektor Perkhidmatan diikuti sektor Industri meramalkan prestasi perniagaan mereka untuk 6 bulan mendatang akan kekal menggalakkan.

Dari aspek hasil kasar pula, sekitar 37.4% pemain sektor menyasarkan peningkatan hasil berlaku, manakala 27.2% pemain sektor pula menjangkakan perolehan hasil bakal menurun. Sementara 35.4% pemain sektor pula menyasarkan kutipan hasil mereka kekal seperti suku pertama 2023. 

Berkenaan dengan pekerja pula, didapati 67.7% syarikat merancang untuk kekalkan jumlah tennaga kerja mereka, diikuti 23% syarikat pula memiliki hasrat menambah lebih ramai pekerja dan hanya 9.3% syarikat sahaja merancang bertindak mengurangkan jumlah tenaga kerja mereka untuk seimbangkan kos operasi.