Prestasi bagi 3 bulan pertama tahun 2023, menunjukkan operasi Maybank kini semakin kukuh apabila mencatatkan untung bersih sebanyak RM2.27 bilion pada laporan kewangan suku pertama 2023 yang berakhir pada 31 Mac lalu. Keuntungan ini dilihat telah melonjak 10.7%, di mana data untung sebelum cukai mencatatkan RM3.06 bilion berbanding RM2.98 bilion pada tempoh setahun lalu.
Mengikut data Maybank, aliran positif ini disumbang hasil penambahbaikan yang berlaku pada kualiti aset perbankan. Di samping keuntungan operasi dan aliran pasaran yang semakin seimbang turut membantu menyokong pendapatan bersih kumpulan.
Selain lonjakan untung bersih, pendapatan operasi bersih turut meningkat kepada RM6.32 bilion susulan disokong pendapatan derivatif, pertukaran asing, pelaburan dan perdagangan yang positif. Namun Maybank kekal akui masih terdapat cabaran pada aliran ekonomi semasa – antaranya pihak mereka berdepan kos overhed lebih tinggi pada RM3.05 bilion berbanding RM2.73 bilion pada tempoh sebelumnya dan hasil kenaikan kos kakitangan turut mendorong kepada keperluan peruntukan lebih tinggi pada operasi.
Biarpun menjangkakan kos sedemikian akan terus meningkat, Maybank kekal komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada para penggunanya – dalam depani cabaran pengurusan kewangan di era masa ini.