Artikel

Pos Malaysia Rugi RM27.66 Juta – Kesan Persaingan Pasaran Kurier

Prestasi 3 bulan pertama bagi tahun ini, memperlihatkan Pos Malaysia alami kerugian sekitar RM27.66 juta. Meskipun kekal berdepan kerugian, angka tersebut dilihat lebih rendah berbanding tempoh yang sama pada tahun 2022 dengan RM30.37 juta.

Tidak hanya itu, perolehan kumpulan turut menurun kepada RM482.27 juta berdasarkan makluman kepada Bursa Malaysia semalam. Bagaimanapun penurunan ini dilihat semakin memulih dengan dibantu perkhidmatan dan pengurusan kos kumpulan yang lebih baik.

Namun Pos Malaysia akui penyusutan perolehan 13% ini adalah susulan kesan perniagaan kurier yang kian merosot – disebabkan pengurangan jumlah bungkusan, kesan peningkatan sumber dalaman oleh platform e-dagang yang memperlihatkan pengguna lebih memilih pembelian secara fizikal.

Malah persaingan antara kurier lain juga turut meningkatkan lagi risiko penurunan jumlah bungkusan pada Pos Malaysia.

Meskipun berdepan cabaran itu, Pos Malaysia kekal optimis dan akan bertindak dengan lebih cekap bagi mencapai prestasi yang lebih baik pada 2023 ini.