Artikel

Stesen Minyak Tanpa Subsidi Bakal Diperluas Ke Kelantan

Hasil pelaksanaan stesen minyak tanpa subsidi yang dijalankan secara rintis di cawangan terpilih Perlis, kerajaan ketika ini dianggarkan telah menjimatkan subsidi berjumlah RM5 juta dengan membekalkan petrol RON95 dan Diesel tanpa subsidi.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, laporan awal usaha di bawah Program Ekonomi Sempadan ini telah menunjukkan penurunan sebanyak 13.2% penjualan diesel bersubsidi dan penurunan 15.7% bagi RON95 bersubsidi di 38 buah stesen di Perlis dicatatkan bagi tempoh 2 bulan pertama.

Sementara stesen minyak tanpa subsidi pula menunjukkan peningkatan pada jualan diesel sebanyak 14.75% diikuti RON95 sebanyak 43.27%. Meskipun projek rintis ini menawarkan jualan minyak petrol tanpa subsidi, namun paras harga semasa itu RM3.05 (RON95) dan RM3.00(Disesel) itu masih lebih rendah berbanding harga minyak di Thailand dengan RM4.62 seliter (RON95), RM4.24 seliter (Diesel).

Susulan penjimatan yang baik itu, pada laporan kerajaan kini dalam pertimbangan untuk mengembangkan pelaksanaan stesen minyak tanpa subsidi ke negeri lain. Antaranya Kelantan kini dalam peringkat akhir memuktamadkan pelaksanaan tersebut bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Setelah Kelantan negeri lain yang turut diteliti adalah Kedah, Perak, Sarawak, Sabah dan Johor.

Penambahan stesen minyak tanpa subsidi di kawasan sempadan ini untuk makluman adalah bertepatan dengan usaha Malaysia untuk membanteras ketirisan jualan diesel bersubsidi secara berperingkat.