Artikel

PBB Ramal 2023-2027 Jadi Tempoh Paling Panas

Suhu diperingkat dunia tidak lama lagi, dijangka bakal lebihi 1.5 darjah Celsius sepertimana yang telah disaarkan dalam perjanjian iklim Paris. Menurut Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) PBB terdapat 98% kemungkinan bahawa dalam tempoh 5 tahun mendatang atau seluruh tempoh tersebut – dunia akan mencatatkan suhu paling panas. 

Jangkaan tersebut merangkumi tahun ini 2023 sehingga 2027 kelak. 

Sekadar imbasan fakta buat pembaca, dunia sebelum ini merekodkan suhu terpanas antara 2015 dan 2022 di mana purata suhu global pada tahun 2022 ialah sekitar 1.15 darjah Celcius iaitu melebihi purata 1850-1900. 

Kini WMO turut menjangkakan terdapat 66% kemungkinan bahawa suhu permukaan global secara tahunan berupaya naik lebihi 1.5 darjah Celsius dengan julat mencecah sehingga 1.8 darjah Celsius bagi setiap 5 tahun tersebut. 

Buat pengetahuan umum, fenomena cuaca panas kebiasaanya berlaku pada setiap dua hingga tujuh tahun dan WMO menjangkakan terdapat kemungkinan El Nino bakal berlaku 60% menjelang akhir Julai ini dan 80% pula menjelang akhir September kelak. 

El Nino atau disebut sebagai El Nino-Southern Oscillation (ENSO) adalah fenomena cuaca panas kering yang berlaku kesan pemanasan perairan meliputi Lautan Pasifik tengah dan timur. Kemasukan arus panas dari bahagian tengah telah membawa kesan kepada perubahan suhu permukaan laut lebih tinggi di bahagian timur. Ia secara langsung mendorong bahagian barat Pasifik meliputi Malaysia berdepan tekanan tinggi atmosfera mengakibatkan berlakunya cuaca lebih kering. Difahamkan fenomena ini berlaku pada setiap 2 tahun-7 tahun dan ia akan berpanjangan antara tempoh 6 bulan sehingga 18 bulan.