Artikel

Indonesia Dijangka Hilang Status Negara No.4 Paling Ramai Penduduk – Menjelang 2045

Indonesia dijangka bakal kehilangan status selaku negara ke-4 paling ramai penduduk dunia kepada Nigeria dan Pakistan, menjelang 2045 ini.

Menurut tinjauan Kementerian Perancangan Negara Indonesia bersama statistik global, populasi Indonesia ini akan lebih perlahan kepada 0.4% pada 2045 berbanding 1.17% pada tahun 2022. Ini bermakna dalam tempoh 22 tahun kelak Indonesia akan memiliki sekitar 324 juta penduduk di Asia Tenggara.

Antara faktor yang mendorong penyusutan tersebut adalah kadar kelahiran yang dilihat semakin perlahan, di samping usaha Indonesia untuk memacu pertumbuhan ekonomi mereka dan mencapai status pendapatan tinggi menjelang 2045. Melalui usaha itu, pentadbiran Indonesia telah laksana kempen perancangan keluarga melibatkan kepentingan kebajikan pekerjaan, pendidikan serta kesihatan.

Pada tempoh tersebut juga, turut dijangka rakyat Indonesia yang berusia lebih 65 tahun dianggarkan meningkat kepada 14.6% pada 2045 berbanding 6.2% pada tahun 2020. Sementara penduduk berusia antara 15 tahun hingga 64 tahun dijangka menurun kepada 65.8% pada tempoh tersebut.

Selain penyusutan jumlah populasi Indonesia, negara China juga turut berdepan situasi yang sama apabila India dijangka atasi jumlah penduduk menjelang pertengahan 2023 ini.