Bagi meningkatkan tahap ketelusan dan kebolehpercayaan pada perkhidmatan pengangkutan negara, Prasarana Malaysia Berhad kini telah melancarkan inisiatif Min Kilometer Antara Kegagalan (MKBF) yang bertindak memaparkan maklumat terkini berhubung operasi rel dan bas untuk pengguna awam.
Pada laman MKBF ini, pengguna boleh menyaksikan purata kapasiti penumpang secara bulanan dan harian pada perkhidmatan rel mengikut laluan Ampang, Kelana Jaya, Monorel, Kajang, dan Putrajaya.

Tidak hanya itu, turut tersedia maklumat peratusan muatan yang ditampung, disamping ketersediaan perkhidmatan semasa dan tahap prestasi kemudahan yang terdapat pada stesen tren. Kemudahan ini meliputi akses lif, eskalator, tahap pencahayaan, kebocoran air, dan tandas awam buat penggunaan pengguna awam.
Menerusi maklumat semasa itu, ini akan membantu pengguna mengetahui prestasi kemudahan tersebut dari semasa ke semasa dan situasi itu turut meningkatkan displin Prasarana untuk memastikan seluruh kemudahan diselenggara dengan segera.
Secara menyeluruh, pemaparan maklumat MKBF ini tidak sekadar memaparkan ketersediaan serta prestasi semasa operasi LRT, MRT, dan Monorel tetapi turut menunjukkan tahap keselesaan kemudahan yang terdapat pada stesen berkaitan kekal ditambah-baik.
Sebarang perincian lanjut, semua pihak boleh layari MKBF untuk penjelasan seterusnya.