Artikel

Khidmat Seru-Pandu AirAsia Ride Kini Boleh Didapati Pada Aplikasi Foodpanda

AirAsia Superapp dan foodpanda kini telah mengatur langkah inovatif bersama apabila mengumumkan kerjasama penawaran akses perkhidmatan mereka kepada para pengguna.

Kerjasama itu membolehkan kedua platform memanfaatkan kekuatan khidmat masing-masing, di mana khidmat seru-pandu airasia ride kini boleh didapati pada aplikasi foodpanda. Sementara akses perkhidmatan penghantaran runcit dan makanan foodpanda pula dapat dihubungkan bersama pengguna airasia Superapp.

Bagaimanapun akses seru-pandu tersebut setakat ini tersedia di kawasan terpilih sekitar Lembah Klang sahaja, dimaklumkan akan diperluas ke banyak kawasan secara berperingkat kelak.

Bersempena usahasama ini, para pengguna airasia Superapp dan foodpanda kini berpeluang nikmati pelbagai tawaran pada khidmat seru-pandu dan penghantaran makanan eksklusif pada akses kedua aplikasi. Sebarang info terkini boleh layari laman rasmi airasia Superapp dan foodpanda.