Kenaikan paras Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 3.00% secara langsung telah meningkatkan kebimbangan segelintir pihak bahawa terdapat potensi jumlah individu muflis juga akan meningkat.
Bagaimanapun Bank Negara Malaysia (BNM) pada sidang Prestasi Ekonomi Malaysia Suku Pertama 2023 hari ini menyelar makluman tersebut dengan menjelaskan tiada data kukuh berhubung tanggapan berkenaan bahawa ramai rakyat negara akan terkesan dan berlakunya peningkatan angka muflis dalam negara.
BNM akui pelarasan naik OPR memberi kesan pada aliran pembiayaan pinjaman pengguna, akan tetapi terdapat pelbagai kemudahan bantuan kewangan tersedia untuk membantu para pengguna menangani situasi kenaikan semasa ini.
Langkah menaikkan OPR dilihat selari dengan matlamat negara untuk memperkasakan pertumbuhan Malaysia ke arah lebih mampan. Buat pengetahuan umum, pengisytiharan status muflis adalah bukan proses yang mudah. Terdapat pelbagai faktor perlu diteliti pihak perbankan sebelum menetapkan status tersebut ke atas individu.
Secara menyeluruh setakat 2019 sehingga Februari 2023, mengikut data Jabatan Insolvensi Malaysia didapati terdapat 33,388 kes muflis dicatatkan di Malaysia. Untuk 2023 sahaja, seramai 13 orang di negara diisytiharkan muflis setiap hari.
Sebagai pecahan ini faktor yang mengakibatkan kebankrapan bagi tahun 2023;
- Pinjaman Peribadi – 354
- Pinjaman Perniagaan – 148
- Sewabeli kenderaan – 56
- Pinjaman Perumahan – 77
- Hutang Kad Kredit – 24
- Keberhutangan Lain – 34
- Hutang Cukai Pendapatan – 17
- Penjamin Korporat – 22
- Caruman KWSP – 9
- Biasiswa atau Pinjaman Pelajaran – 3
