Artikel

MR DIY Untung RM127.8 Juta – Melonjak 27% Bagi Suku Pertama

Prestasi untung bersih bagi suku pertama 2023, memperlihatkan operasi MR DIY Group Berhad kini melonjak 27% kepada RM127.8 juta – di mana ia lebih tinggi berbanding prestasi suku yang sama pada tahun 2022 berjumlah RM100.6 juta.

Aliran yang positif ini menurut MR DIY telah disumbang berasaskan pertumbuhan jualan kedai yang semakin tinggi, dan perkembangan itu turut disokong berdasarkan pembukaan cawangan baharu yang dilaksana kumpulan.

Selain untung bersih, pendapatan operasi juga menyaksikan percambahan positif 15.6% kepada RM1 bilion – berbanding RM905 juta pada suku pertama tahun lalu.

Berikutan jualan kedai melonjak, ini memperlihatkan peningkatan pada volum urus-niaga MR DIY yang kini naik 18.1% kepada 38.2 juta urus-niaga secara tahunan.

Secara menyeluruh, kumpulan kini telah berkembang memiliki 1,125 cawangan setakat akhir Mac 2023 – di mana meliputi MR DIY, MR TOY dan MR DOLLAR. Melalui perkembangan tersebut, kumpulan menyasarkan untuk membuka 180 kedai baharu merentasi semua jenama pada tahun ini.

Agenda itu sekaligus berpotensi menjadikan kumpulan selaku peruncit pembaikan rumah terbesar di negara dengan memiliki lebih 1,200 cawangan menjelang akhir 2023 kelak.