Artikel

Hampir 5.4 Juta Pekerja Malaysia Kini Dalam Kategori Separuh Mahir – DOSM 

Arena pasaran buruh tempatan kini terus memaparkan pemulihan apabila jumlah peluang pekerjaan dalam sektor ekonomi negara kini meningkat sebanyak 2.7% kepada 8.81 juta jawatan – ini lebih tinggi berbanding data suku yang sama tahun lalu iaitu 8.57 juta jawatan.

Berikutan tawaran itu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Statistik Guna Tenaga Suku Pertama 2023 mendapati sejumlah 8.61 juta jawatan telah diisi dengan kadar keosongan semasa adalah 2.2% iaitu masih terdapat 192,600 jawatan tersedia untuk peluang pekerjaan pada suku pertama 2023 ini. Bagaimanapun melihat pada kerancakkan itu, diteliti pengisian pekerjaan separuh mahir di negara terus meningkat dari suku ke suku – apabila kini seramai 5.39 juta pekerja di Malaysia adalah dalam kategori separuh mahir.

Diikuti kategori mahir pula seramai 2.15 juta pekerja dan pekerja berkemahiran rendah pula seramai 1.08 juta individu – angka ini meningkat berbanding data suku yang sama pada tahun 2022.

Berdasarkan kategori sektor ekonomi, ternyata pengisian jawatan kosong kekal diungguli sektor Perkhidmatan apabila mencatatkan 4.56 juta jawatan di negara adalah tertumpu dalam sektor Perkhidmatan. Diikuti sektor Pembinaan dengan 1.26 juta jawatan  dan Pembuatan 2.4 juta jawatan.

Secara menyeluruh peratusan kategori pekerjaan separuh mahir di negara terus meningkat, kini mencapai kadar 62.4%. Untuk makluman, data ini hanya merangkumi status pekerja yang bergaji sahaja – sama ada bekerja sepenuh masa atau secara sambilan. Ini tidak termasuk dengan pemilik perseorangan, rakan niaga, pekerja keluarga tanpa gaji atau pekerja yang bercuti tanpa gaji.