CTOS Data Systems, antara penyedia pelaporan kredit swasta di negara kini telah meluaskan akses kepada pengguna negara – apabila kini telah membantu lebih 2.6 juta pengguna negara memperkasakan pengurusan skor kredit mereka.
Sehingga kini dimaklumkan CTOS telah melaksanakan lebih 450 webinar bersama pihak industri antaranya Kementerian Kewangan, KPKT, MITI dan Bank Negara Malaysia. Lebih menarik hari ini CTOS telah dianugerahkan kontrak 5 tahun bernilai RM14 juta dari Alliance Bank untuk menaik taraf Sistem Kelulusan Pinjaman Peribadi (RLOS) yang digabungkan bersama projek Transformasi Kredit.
Untuk makluman projek ini akan melibatkan inovasi digital dan automasi untuk meningkatkan proses sedia ada dan mentransformasikan kaedah penilaian kredit. Ini akan membolehkan Alliance Bank memberi perkhidmatan yang pantas, mudah dan lebih relevan untuk memenuhi keperluan pelanggan yang kian berubah.
RLOS di bawah Alliance Bank ini akan dibina atas platform JurisTech, syarikat fintech yang telah diperoleh 49% kepentingan oleh CTOS pada awal tahun 2022. RLOS ini akan turut dilengkapi dengan penyelesaian digital CTOS seperti CTOS eKYC, CTOS CAD dan Skor CTOS.
Projek ini dijadualkan siap dalam tempoh dua tahun. Dengan adanya RLOS ini, Alliance Bank berharap dapat memendekkan proses kelulusan pinjaman bercagar (seperti rumah dan kereta) dalam masa dua hari sahaja dan pinjaman tidak bercagar (seperti kad kredit and pinjaman peribadi) dalam masa satu jam sahaja untuk mengeluarkan pinjaman.
Bukan itu sahaja, projek ini juga akan dapat membantu kalangan pengguna yang tidak mempunyai sejarah kredit dan juga mereka yang tidak mendapat akses pinjaman yang mencukupi, untuk mendapat kelulusan pinjaman.
Melalui kerjasama bersama CTOS, kedua pihak menjangkakan projek transformasi ini dapat membantu meningkatkan kapasiti perbankan pengguna.