Artikel

Kereta Api Enjin Stim Berkonsep Tradisional – Bakal Beroperasi Mulai 2024

Bagi meningkatkan semula tarikan pelancongan Malaysia, kereta api enjin stim bersama hiasan dalaman koc penumpang yang berkonsepkan tradisional diumumkan akan mula operasi pada Januari 2024 buat para pelancong.

Inisiatif bersama antara Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dan Tourism Heritage Steam Locomotive Train ini tidak sekadar bertujuan menarik tarikan pelancong luar dan dalam negara, tetapi turut membolehkan para pelancong nikmati keindahan alam sekitar di sepanjang laluan kereta api tersebut.

Antara tarikan pemandangan yang menarik bakal disajikan adalah pada laluan hutan dari Gemas, Negeri Sembilan sehingga ke Tumpat, Kelantan. Bagaimanapun untuk peringkat awal, destinasi permulaan yang menggunakan khidmat kereta api ini adalah Kuala Lumpur dan Butterworth – setelah itu dimaklumkan akan dilanjutkan pada destinasi lain.

Setakat ini hiasan dalam pada keretapi api enjin stim itu telah mencapai 70% penyelesaian, untuk makluman hiasan tersebut menggunakan sepenuhnya hasil kerja tangan ukiran anak tempatan Malaysia, diikuti rekaan kerusi penumpang pula akan menggunakan konsep inspirasi seniman P.Ramlee dan seniwati Saloma.

Lebih menarik, KTMB turut memaklumkan – khidmat kereta api ini tidak hanya tersedia untuk pengangkutan tetapi boleh dijadikan sebagai lokasi majlis perkahwinan pada bahagian dek terbuka kereta api. Namun pakej sedemikian masih tidak diperincikan lagi dan akan dimaklumkan kelak.