Setelah melalui fasa ujian rintis, hari ini secara rasminya Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank Indonesia (BI) melaksanakan pelancaran komersial jalinan pembayaran kod QR rentas sempadan antara kedua buah negara.
Ia bermakna, akses pembayaran dengan mengimbas kod QR Standar Pembayaran Nasional (Quick Response Code Indonesian Standard, QRIS) atau DuitNow QR telah dihubungkan di kedai-kedai atau secara dalam talian bagi membolehkan pengguna Malaysia dan Indonesia menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan oleh institusi kewangan pada pembayaran runcit di kedua buah negara.
Melalui jalinan ini, secara langsung memberi banyak manfaat kepada pengguna Malaysia dan Indonesia – ia tidak sekadar memudahkan akses transaksi dan memacu aliran perbelanjaan kedua negara tetapi turut merangsang kegiatan pertumbuhan ekonomi pelancongan Malaysia dan Indonesia.
BNM melihat jalinan ini juga akan membantu memperluaskan lagi pasaran sesetengah perniagaan dan memudahkan penyelesaian dalam mata wang tempatan yang lebih banyak, sekaligus meningkatkan lagi hasil kewangan Malaysia.