Artikel

PM Anwar Mahu KWSP Tingkatkan Pelaburan Dalam Negara Kepada 70% 

Perdana Menteri Anwar Ibrahim kini menyeru agar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meningkatkan pelaburan dalam negara iaitu pelaburan tempatan daripada 64% pada tahun lalu kepada 70% bagi tahun ini.

Saranan sedemikian bertujuan untuk membantu pencarum meningkatkan pendapatan di masa hadapan. Matlamat tersebut difahamkan telah dimaklumkan bersama Ketua Pegawai Eksekutif KWSP iaitu Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. PM Anwar turut menegaskan langkah sedemikian adalah sejajar dengan keperluan negara ketika ini yang kelak memberi manfaat kepada sebahagian keperluan rakyat.

Selain usaha tersebut – PM Anwar turut memaklumkan pihaknya bersama KWSP dan Khazanah Nasional akan meneliti pendekatan baru bagi memastikan arena startup dapat dirancakkan melalui penyertaan golongan muda.

Seperti yang umum ketahui, pada Belanjawan 2023 lalu, Khazanah Nasional dan KWSP telah memaklumkan akan melabur RM1.5 bilion pada startup Malaysia. Menerusi langkah itu, ia sekaligus akan membantu sektor teknologi digital negara pada pertumbuhan di masa hadapan.