Demi memacu peralihan arena automatif negara ke arah kenderaan elektrik (EV) di Malaysia yang dilihat semakin rancak, CIMB Bank dan CIMB Islamic kini memaklumkan penawaran penyelesaian kewangan EV buat para pengguna mulai tersedia – meliputi pembiayaan, pelindungan insuran dan ganjaran eksklusif.
Penawaran sehingga 30 April 2024 ini diperincikan akan menawarkan pelanggan CIMB nikmati manfaat pembiayaan bersama sokongan insurans. Ini termasuk kadar tetap pembiayaan EV serendah 1.98% setahun dan sehingga 90% margin pembiayaan dengan tempoh pembayaran sehingga 9 tahun.
CIMB turut menjelaskan pihak bank berupaya menyediakan laluan pantas bagi kelulusan pembiayaan dalam masa 8 jam sahaja. Berhubung sokongan insurans, CIMB memaklumkan pihaknya bergandingan bersama Berjaya Sompo Insurance iaitu di bawah insurans Motor Secure. Melalui manfaat kesepakatan itu, pelanggan CIMB berupaya nikmati diskaun 5% kadar premium untuk EV serta rebat tunai 10% pada premium.
Tidak hanya itu, pemilik EV turut berpeluang raih perlindungan lengkap seperti perlindungan pengecas dinding rumah EV sehingga RM15,000 yang meliputi kejadian seperti kebakaran, pencurian, petir, letupan, dan banjir, serta RM50,000 dalam perlindungan liabiliti peribadi untuk kemalangan ketika menggunakan pengecas kereta elektrik.
Perlindungan ini termasuk perkhidmatan tundaan tidak terhad ke stesen pengecas EV yang terdekat. Sebagai tambahan, CIMB juga menawarkan tag RFID Touch ‘n Go percuma bagi pelanggan yang mengambil Pembiayaan EV dengan CIMB.
Secara menyeluruh, melalui agenda memacu arena EV ini – CIMB turut tampil sediakan stesen pengecas EV pertamanya di cawangan CIMB Preferred di Plaza Damansara. Perluasan akses tersebut dimaklumkan akan diperluas dari semasa ke semasa.