Artikel

Capital A Lancar ABC. – Bantu Perluas Jejak AirAsia Di Pasaran Global

Capital A, syarikat induk disebalik khidmat penerbangan tambang rendah AirAsia kini menampilkan entiti baharu di bawah tampuk pengurusannya iaitu airasia brand co. (abc.) yang bertindak memacu imej AirAsia di persada antarabangsa.

Menerusi usaha perkembangan imej jenama ini, abc. akan dikendali Rudy Khaw yang berperanan selaku Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO abc.). Peranan itu disokong bersama Tony Fernandes selaku pengerusi yang bertindak mengambilalih pemilikan semua portfolio harta intelek (IP), merangkumi jenama serta tanda dagangan seluruh kumpulan Capital A bagi aturan perkembangan jenama kelak.

Melalui lantikan Rudy sebagai CEO, pihaknya  bermatlamat menjasikan pengalamannya dalam arena tersebut selama lebih 16 tahun sebagai kelebihan untuk memacu pertumbuhan AirAsia di pasaran ASEAN dan seluruh dunia.

Capital A menyasarkan fungsi abc. akan membantu operasi meneroka pendekatan baharu – tidak sekadar meluaskan jejak jenama AirAsia di pelbagai industri dengan laksana hubungan strategik, peluang dagangan tetapi turut mengembangkan potensi kumpulan dan dekati lebih banyak pihak berkepentingan bersama para pengguna.