Bermula awal 2024, Singapura di bawah Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) memaklumkan akan membenarkan para pelawat yang naiki kereta untuk lepasi imigresen di pusat pemeriksaan darat Singapura tanpa mengemukakan pasport mereka kepada pegawai bertugas. Hanya dengan mengimbas kod QR sahaja melalui aplikasi MyICA, para pelawat boleh lepasi imigresen negara tersebut.
Akses ini untuk makluman akan dilaksanakan di semua kaunter bagi kereta di pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas. Di mana bagi peringkat awal, akses pelepasan tersebut tidak akan dilaksanakan secara automatik. Masih terdapat pegawai bertugas akan ditempatkan di kaunter manual ketika proses tersebut.
Namun mengikut makluman, mulai 2026 – laluan automatik khas kereta menggunakan akses kod QR ini akan dilaksanakan di Pusat Pemeriksaan Tuas. Sementara Pusat Pemeriksaan Woodlands pula akan dinaik-taraf pada 2028.
Melalui pengenalan sistem automatik ini ia secara langsung akan membolehkan para pelawat laksana sendiri proses pelepasan imigren dari dalam kereta tanpa memerlukan pegawai untuk lepasi imigresen tersebut.
ICA turut memaklumkan bagi suku pertama 2024, pihaknya akan bertindak menggantikan kaunter manual di bahagian imigresen secara berperingkat. Dijangka sekitar 800 laluan automatik akan tersedia buat kegunaan para pelawat kelak.