Artikel

OPR Naik Lagi, Kini Paras 3.00% – Bank Negara Malaysia

Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini memaklumkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) negara kini telah dinaikkan sebanyak 25 mata asas (bps) iaitu kepada 3.00%.

Kenaikan ini sekaligus menamatkan pengekalan OPR 2.75%, yang telah dikekalkan sebanyak 3 kali sejak November 2022, Januari 2023 dan Mac 2023.

Pelarasan OPR di bawah sidang Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) ini dilaksana berasaskan petunjuk ekonomi semasa. Di mana ekonomi negara ketika ini diperlihat semakin mengukuh pada suku pertama 2023. Meskipun eksport dijangka menjadi sederhana, pertumbuhan pada tahun 2023 kekal optimis dan akan didorong oleh permintaan dalam negeri.

Manakala perbelanjaan isi rumah pula dilihat kekal berdaya tahan, disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang lebih baik memandangkan pengangguran terus menurun ke tahap sebelum pandemik. Ketibaan pelancong ke Malaysia yang meningkat juga dijangka akan menggiatkan aktiviti berkaitan pelancongan pada sturktur ekonomi tempatan.

Secara menyeluruh, inflasi keseluruhan menunjukkan trend menurun pada bulan-bulan kebelakangan ini disebabkan oleh faktor kos yang menurun. Inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka menjadi sederhana sepanjang tahun 2023, berpurata antara 2.8% hingga 3.8%. Walau bagaimanapun, inflasi teras akan kekal pada paras tinggi berikutan keadaan permintaan yang kukuh.

Mengikut pengamatan BNM, kawalan harga dan subsidi bahan api sedia ada akan terus membendung sebahagian daripada tekanan inflasi yang meningkat.