Sekiranya tahun lalu, negara berjaya merekodkan sejumlah 10.07 juta ketibaan pelancong antarabangsa ke pasaran Malaysia bersama nilai perbelanjaan sekitar RM28.2 bilion. Angka tersebut disasar akan terus meningkat pada tahun ini, dengan sasaran kemasukan 16.1 juta pelancong bagi 2023.
Jumlah itu berdasarkan matlamat pelancongan negara bakal membantu negara menjana sebanyak RM49.2 bilion pada perbelanjaan pelancong asing di Malaysia. Adanya peningkatan ini, ia dilihat seiring dengan gagasan negara sebagai persediaan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2025 kelak.
Di mana untuk tahun 2025, dijangka kemasukan pelancong asing bakal mencapai sekitar 23.5 juta pelancong dengan perolehan hasil mencecah RM76.8 bilion. Jumlah ini untuk makluman masih lagi rendah berbanding pertumbuhan sebelum wabak COVID-19. Iaitu bagi tahun 2019, pelancongan Malaysia berjaya meraih hasil RM86.1 bilion bersama kemasukan 26.1 juta pelancong asing.
Meskipun angka itu masih di bawah paras sebelum pandemik, sokongan ekonomi pelancongan kini dilihat semakin rancak. Apabila didapati sejumlah 48 buah hotel baharu akan dibuka dalam tempoh 2023 hingga 2027 ini. Adanya perkhidmatan penginapan ini menurut laporan ia sekaligus dapat memberi jaminan, mengimbangi permintaan penginapan melancong di Malaysia. Antara lokasi pembukaan yang akan terlibat adalah di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu.
Sebagai perincian untuk tahun 2023 sahaja, dijangka sekitar 22 buah hotel baharu akan dibuka.