Forum Ekonomi Dunia (WEF), mendedahkan sekitar 23% pekerjaan di dunia akan alami perubahan dalam tempoh 5 tahun – kesan keperluan kepakaran dan sokongan teknologi digital.
Tinjauan pada Laporan Masa Hadapan Pekerjaan 2023 yang membabitkan penyertaan 803 buah syarikat bersama 11.3 juta pekerja dalam 27 industri dan 45 ekonomi di seluruh dunia ini – jelas memperincikan terdapat 69 juta pekerjaan bakal dijana namun 83 juta jawatan akan pupus daripada 673 juta pekerjaan yang direkodkan dalam data ini.
Ia secara langsung akan mengakibatkan jangkaan kehilangan sekitar 14 juta pekerjaan iaitu bersamaan dengan 2% pekerjaan semasa.
Selain permintaan pakar serta penyertaan teknologi digital yang semakin rancak – matlamat syarikat dalam memperkasakan peralihan hijau dan ESG iaitu pemacuan tadbir-urus, alam sekitar dan piawaian sosial juga turut menjadi faktor utama kepada perubahan skop pekerjaan tersebut.
Perubahan ini bagaimanapun memiliiki pulangan yang positif apabila ia turut membantu menjana skop pekerjaan baharu seiring dengan perubahan era.
Malah perubahan ini, turut didorong tekanan kos semasa yang memperlihatkan paras inflasi tinggi, pertumbuhan ekonomi perlahan serta kesan kekangan bekalan yang menimbulkan ancaman buat segelintir industri. Ini sekaligus memerlukan keseimbangan pada kos dan tenaga kerja dalam operasi.
Susulan itu, untuk memperkasakan peralihan pekerjaan di masa hadapan – WEF menyarankan sokongan pelaburan secara berterusan diterapkan pada pendidikan, inisiatif kemahiran baharu serta sokongan sosial. Langkah sedemikian secara langsung akan memacu pertumbuhan pasaran tenaga global dari semasa ke semasa.