Artikel

LHDN Jangka Kutipan Hasil 2023 Lebih Tinggi – Capai RM176.14 Bilion 

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kini menjangkakan tahun 2023 akan menjadi tahun yang meraih hasil lebih tinggi – dengan sasaran berjumlah RM176.14 bilion. Peningkatan ini antaranya didorong atas usaha negara perkenalkan beberapa pindaan polisi dan asas cukai seperti penurunan cukai M40, kenaikan cukai T20 serta pengenalan cukai barangan mewah dan cukai keuntungan modal kelak.

Bagaimanapun sasaran tersebut masih miliki risiko apabila ketidaktentuan ekonomi semasa dilihat menjadi cabaran buat LHDN untuk merealisasikan matlamat itu pada akhir tahun ini. Menurut LHDN, unjuran pertumbuhan ekonomi global ketika ini diturunkan kepada 2.7%. Ia secara langsung meningkatkan risiko perolehan.

Antara faktor lain yang turut alami penurunan pada laporan perolehan hasil adalah komponen cukai langsung seperti Cukai Pendapatan Petroleum yang dijangka menurun kepada RM18.242 bilion susulan kesan penyusutan harga petroleum mentah dunia ketika ini. Selain itu Cukai Pendapatan Koperasi juga dilihat berpotensi turun ekoran prestasi perniagaan masih difasa pemulihan, kesan kerugian pandemik.