Selari dengan perluasan ekonomi digital di rantau Asia Tenggara – UOB dan Lazada Group kini mengambil peluang mengatur langkah bersama untuk meningkatkan penyelesaian perbankan dan peruncitan kepada para peniaga dan pengguna e-dagang, ini termasuklah di pasaran Malaysia.
Kesepakatan di bawah persetujuan Memorandum Persefahaman (MoU) ini dilihat akan memberi manfaat kepada pengguna kedua sektor iaitu peruncitan dan perbankan.Antaranya, para peniaga e-dagang Lazada di rantau Asia Tenggara bakal menerima tawaran peningkatan akses khidmat pinjaman kewangan untuk meluaskan kapasiti dagangan mereka bagi jangka masa panjang.
Langkah itu tidak sekadar memanfaatkan kemudahan pembiayaan digital bagi kalangan kumpulan peniaga kecil tetapi turut memberi faedah kepada para pengguna untuk memenuhi keperluan perbelanjaan mereka.
Selain Malaysia, peniaga dan pengguna e-dagang di Singapura, Thailand, Indonesia dan Vietnam turut menerima manfaat tersebut.