Dalam usaha menggalakkan penggunaan bahan api lebih mampan dan memacu kelestarian global – Kesatuan Eropah (EU) menjelang 2025 akan bertindak perkenalkan Eco-Label iaitu program pensijilan alam sekitar ke atas pengendali penerbangan.
Pengenaan label ini meliputi pemaparan maklumat berkenaan jangkaan jejak karbon bagi setiap penumpang dan membolehkan pengguna menilai dan membandingkan prestasi penerbangan yang berbeza berhubung inisiatif mereka dalam memperkasakan usaha kelestarian.
Kesepakatan ini telah dicapai melalui perunding Parlimen Eropah bersama anggota EU berhubung penggunaan 2% bahan api jet mampan mulai 2025 dan akan dipertingkatkan secara berkala kepada 70% menjelang 2050 kelak. Penghasilan bahan api mampan ini merangkumi sumber seperti alga, sisa bio atau minyak masak terpakai, bahan api jet kitar semula serta hidrogen yang dijana daripada tenaga boleh baharu.
Langkah ini untuk makluman difahamkan turut diselaraskan bersama matlamat pengendalian iklim negara Eropah – iaitu menyasarkan pengurangan pelepasan gas rumah hijau sekitar 55% menjelang 2030 kelak.
Buat pengetahuan umum, ketika ini didapati penerbangan awam di Eropah bertanggungjawab ke atas 13.4% pelepasan karbon dioksida dalam sektor pengangkutan.