Artikel

Inflasi Mungkin Naik, Susulan Harga Ayam Dan Telur Bakal Diapungkan Pada Julai Ini

Seperti yang umum ketahui, harga ayam dan telur dipasaran negara dijangka akan diapungkan selepas Jun ini – ia bermakna harga dua bekalan mentah tersebut akan tersedia berdasarkan harga  pasaran semasa menjelang Julai kelak. Situasi itu secara langsung berpotensi meningkatkan kadar keseluruhan inflasi Malaysia ke paras yang lebih tinggi.

Berlandaskan data simulasi Maybank IBG Research mengikut harga ayam pada separuh kedua 2023 kelak, dijangka setiap kenaikan harga ayam sebanyak 10% berpotensi memberi kesan langsung kepada kenaikkan inflasi keseluruhan sebanyak 0.1 mata peratusan.

Bagaimanapun, selain perancangan mengapungkan harga ayam dan telur – risiko inflasi negara kekal dipengaruhi berlandaskan beberapa faktor utama negara seperti pengagihan subsidi, kawalan harga, serta subsidi elektrik bersasar. Setakat ini paras inflasi Malaysia sekitar 3.4% lebih rendah berbanding 3.7% paras sebelumnya.

Secara menyeluruh, penganalisis turut menyasarkan paras Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan kembali ke paras sebelum pandemik semula iaitu 3.00% dengan kenaikan 25 mata asas (bps). Kenaikan itu untuk makluman hanya akan diketahui pada awal Mei kelak.