Artikel

Untung Nestlé Malaysia Merosot Kepada RM197.15 Juta – Kesan Tekanan Kos

Impak tekanan harga komoditi yang lebih tinggi serta kadar pertukaran yang tidak menggalakkan kini membawa kepada penurunan nilai untung bersih Nestlé Malaysia bagi suku pertama yang berakhir pada 31 Mac lalu dengan RM197.15 juta.

Penyusutan ketara itu dapat dilihat, lebih rendah berbanding suku yang sama pada tahun 2022 yang merekodkan jumlah untung bersih sebanyak RM205.28 juta.

Walaupun begitu, hasil pasaran tempatan dicatatkan lebih tinggi ekoran jualan domestik dan eksport Malaysia semakin bertambah-baik dengan peningkatan 10% (domestik) dan 4% (eksport) berbanding suku yang sama tahun lalu.

Malah prestasi yang membrangsang juga dapat dilihat pada segmen perniagaan teras makanan dan minuman dan perniagaan di luar rumah di bawah Nestle Professional meningkat positif. Perkembangan itu diperhatikan lebih baik berbanding data ketika pandemik COVID-19.

Maka untuk meningkatkan lagi prestasi pertumbuhan, Nestlé Malaysia tidak sekadar ingin menggandakan lagi penyertaan mereka dalam pelbagai saluran perniagaan tetapi turut merancang meneroka peluang melalui pengaktifan digital bersama pengguna mereka dari semasa ke semasa.