Artikel

Penumpang AirAsia Kini Boleh Bayar Zakat Fitrah Dalam Penerbangan – Bersama IKHLAS

Kurang dari seminggu sahaja lagi, rakyat Malaysia akan menyambut perayaan Aidilfitri – memahami masa yang semakin singkat ini, IKHLAS platform gaya hidup patuh syariah di bawah Capital A kini membolehkan pengguna yang beragama Islam untuk melunaskan tanggungjawab zakat fitrah mereka dalam penerbangan ketika pulang ke kampung halaman.

Melalui pelancaran segmen Zakat di Langit ini, pengguna AirAsia boleh laksana pembayaran zakat fitrah secara tunai bersama anak kapal yang mewakili IKHLAS dengan pilihan saluran zakat seperti Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Lembaga Zakat Negeri Kedah Darul Aman (LZNK), Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) atau Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

Adanya usaha ini ia akan memudahkan penumpang beragama Islam untuk membuat bayaran zakat dalam penerbangan AirAsia. Buat pengguna usah khuatir, IKHLAS telah mendapat pengiktirafan lesen selaku ejen mewakili pelbagai institusi zakat negeri yang terlibat.

Untuk pembayaran tersebut, penumpang hanya perlu dapatkan bantuan anak kapal yang bertugas dan perlu mengisi borong untuk pembayaran zakat sebelum tiba ke destinasi masing-masing.

Selain secara tunai, pengguna juga boleh menggunakan IKHLAS Zakat secara atas talian untuk lebih memudahkan proses pembayaran zakat fitrah. Lebih menarik, khidmat ini turut diperluaskan kepada pembayaran zakat seperti zakat pendapatan, harta, perniagaan, wang simpanan, saham, KWSP/LTAT, emas dan perak juga qadha zakat.

Secara menyeluruh sejak 2020 sehingga kini IKHLAS telah berjaya mengutip lebih RM5.2 juta zakat bersama pengguna.