Artikel

Lebih 74,000 Pencarum KWSP Mohon Fasiliti Sokongan Akaun 2 

Setakat minggu 14 April, terdapat 74,392 permohonan pencarum di bawah Fasiliti Sokongan Akaun 2 diterima oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) – namun daripada jumlah itu, hanya 34,643 pemohon sahaja yang layak dengan jumlah pembiayaan RM722 juta.

KWSP menyasarkan permohonan FSA2 ini akan terus meningkat susulan setelah Bank Simpanan Nasional (BSN) mula melancarkan BSN MyRinggit Insan-i yang berupaya membantu pencarum yang memiliki isu kecairan tunai untuk dapatkan pembiayaan peribadi tanpa kesan yang besar pada simpanan persaraan mereka.

Berhubung isu kekeliruan pembiayaan, KWSP menjelaskan inisiatif fasiliti ini adalah untuk memastikan pencarum mampu biayai pinjaman peribadi mereka dan komited akan pembayaran balik bulanan tanpa menjejaskan sebarang pendapatan persaraan.

Ini bermakna jumlah simpanan Akaun 2 hanya dijadikan sebagai pengukur kepada kelayakan untuk membolehkan pencarum perolehi manfaat pembiayaan peribadi dengan lebih baik. Setakat ini difahamkan terdapat dua perbankan menawarkan pembiayaan berlandaskan FSA2 iaitu MBSB Bank dan BSN.

Maka sebarang maklumat lanjut semua pihak boleh merujuk ke laman rasmi perbankan berkaitan untuk tindakan seterusnya.

Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) adalah medium yang membolehkan pencarum KWSP laksana permohonan awal untuk Pengeluaran Bersyarat bagi berusia 40 tahun sehingga 54 tahun, untuk bantu pencarum dapatkan pembiayaan peribadi daripada pihak perbankan bersandarkan kepada jumlah simpanan Akaun 2 KWSP mereka.