Bilangan penganggur bagi Februari 2023 ternyata terus memaparkan penurunan apabila sekitar 4,200 individu telah berjaya meraih peluang pekerjaan – jumlah ini sekaligus membawa kepada angka pengangguran semasa adalah seramai 591,900 indivudi bersamaan kadar 3.5%.
Penurunan ini mengikut tinjauan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah diimbangi dengan jumlah penduduk bekerja yang meningkat sebanyak 0.2% (lebih 30,000 individu) kepada 16.19 juta individu berkerja di negara.
Mengikut pecahan taraf pekerjaan, didapati sekitar 12.249 juta individu berstatus pekerja, diikuti 2.89 juta pula bekerja sendiri, 486,600 pula pekerja keluarga tanpa gaji dan 560,300 pula adalah berstatus majikan.
Sementara perincian berhubung kategori pengangguran pula – diperlihatkan terdapat lebih 290,000 individu (61%) telah menganggur kurang dari 3 bulan, manakala 29,956 individu (6.3%) pula telah menganggur lebih setahun.
Bagi kategori penganggur mengikut usia pula didapati penganggur berusia 15 tahun hingga 24 tahun telah menurun kepada 320,800 individu. Manakala kadar pengangguran untuk usia 15 tahun hingga 30 tahun pula kekal 7.0% kepada 450,200 penganggur – jumlah ini sedikit tinggi berbanding bulan Januari 2023.
Secara menyeluruh, meskipun kadar ini memaparkan sedikit penurunan namun berdasarkan kemasukan pelaburan baharu di masa hadapan – data menjangkakan pertumbuhan pasaran buruh akan terus rancak iaitu mendorong kepada peningkatan peluang pekerjaan buat pasaran tempatan.