Bagi memudahkan aturan pada ekosistem ekonomi gig melibatkan pemandu teksi dan rakan pemandu seru-pandu, Kementerian Pengangkutan (MOT) kini memaklumkan terdapat dua dasar pembaharuan dilaksanakan – iaitu meningkatkan had usia kenderaan kepada 15 tahun dan pemansuhan ujian teori Lesen Vokasional melibatkan Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan Lesen Kenderaan Barangan (GDL).
Akan tetapi para pemohon masih perlu menghadiri dan melengkapkan kelas teori pelesenan tersebut. Turut difahamkan kelas teori ini dibenarkan dilaksana secara atas talian.
Berdasarkan pemansuhan ujian teori bagi pengambilan Lesen Vokasional (PSV & GDL) – kumpulan ini hanya perlu menduduki dan melengkapkan kelas teori sedia ada sahaja sebelum dikeluarkan Lesen PSV. Namun calon-calon bagi kategori Lesen PSV untuk Bas dan GDL untuk Lori Bersendi pula masih wajib melalui latihan dan lulus ujian amali atau praktikal sebelum mendapatkan Lesen Vokasional.
Melalui usaha pembaharuan itu, secara langsung dapat memberi penjimatan kos, masa dan ruang untuk semua pemandu teksi dan seru-pandu menjamin sumber pendapatan mereka, tanpa perlu khuatir akan peraturan sebelumnya.