Adanya pelaksanaan 15% Cukai Minimum Global (GMT) ke atas sesetengah syarikat multinasional (MNC), ia dilihat berpotensi membantu Malaysia meraih hasil RM1 bilion sebagai langkah permulaan untuk membentuk sumber hasil baharu.
Buat pengetahuan umum, secara dasarnya negara telah bersetuju melaksanakan sistem percukaian global ini pada awal Ogos 2022 lagi. Susulan itu, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan dijangka rang undang-undang (RUU) berkenaan dapat dibentang di Dewan Rakyat pada tahun ini.
Setakat ini, kertas RUU itu sedang disediakan di bawah Bahagian Cukai MOF dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara.
Melalui pengenaan cukai 15% ke atas syarikat multinasional ini, ia secara langsung dapat memastikan pihak firma melunaskan tanggungjawab cukai mereka ke atas negara tuan rumah dan menghindar dari berlakunya sebarang ketirisan kutipan cukai negara.
Buat masa ini terdapat hampir 3,000 syarikat multinasional sedang dipantau LHDN berhubung pelaksanaan tersebut, yang dijangka dapat direalisasikan pada tahun ini.
Untuk makluman, menerusi persetujuan secara dasar berhubung sistem percukaian global ini – ia sekaligus meletakkan Malaysia antara 136 buah negara yang telah diumumkan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) pada ketika ini.
Syarikat Multinasional atau Multinational Corporation (MNC) – adalah entiti yang beroperasi di negara sendiri dan di seluruh dunia. Penetapan operasi induk entiti ditentukan berdasarkan pengurusan operasi dan pentadbiran syarikat tersebut. Firma ini diklasifikasikan sebagai MNC setelah memiliki operasi di beberapa negara luar dan memiliki syarikat utama yang melabur pada cawangan pangkalan di negara lain.