Artikel

Pengguna CIMB Clicks Kini Perlu Sahkan Transaksi RM100 Ke Atas – Melalui SecureTAC

Dalam usaha menggantikan penggunaan SMS TAC kepada SecureTAC sepenuhnya menjelang pertengahan 2023 kelak, CIMB Bank bersama CIMB Islamic kini secara rasminya melaksanakan penggunaan SecureTAC kepada pengguna untuk kelulusan bagi transaksi RM100 dan ke atas di aplikasi CIMB Clicks.

Ini secara langsung merangkumi transaksi melibatkan aktiviti pemindahan dana, pembayaran bil serta tindakan tambah nilai prabayar. Maka melalui usaha itu, CIMB menyeru semua pengguna untuk memuat turun aplikasi CIMB Clicks dan mengaktifkan sistem notifikasi pada bahagian tetapan untuk membolehkan mereka menerima akses kelulusan transaksi melalui SecureTAC.

Secara mudahnya, pengguna pada aplikasi CIMB Clicks boleh mengetik pada ikon Menu > SecureTAC > dan boleh memilih sama ada meluluskan transaksi (Approve) atau menolak sebarang transaksi (Reject).

Langkah itu sekaligus selaras dengan hasrat Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memastikan semua pengguna perbankan miliki manfaat kaedah keselamatan yang mampan ketika melaksanakan transaksi menerusi aplikasi. Sementara aplikasi CIMB OCTO pula turut dimaklumkan akan menerima akses yang sama dalam tempoh terdekat.

Untuk memahami lebih terperinci akan akses ini, para pengguna boleh layari laman CIMB Clicks atau memuat turunnya di Google Play Store, Apple Store dan perlua memastikan aplikasi tersebut sentiasa dikemaskini untuk perolehan pemberitahuan baharu akses CIMB Bank.