Artikel

MBSB Bank : Pencarum KWSP Boleh Mohon Pinjaman Bersandarkan Akaun 2 Melalui Ihsan-i, Bermula 7 April Ini

Seperti yang umum sedia maklum, pembukaan permohonan pinjaman kewangan bersandarkan Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kelak akan dibuka mulai 7 April ini. Menerusi skim itu, MBSB Bank kini memaklumkan permohonan tersebut boleh dilaksanakan bersama pihaknya melalui kemudahan patuh syariah Ihsan-i.

Pada kemudahan Ihsan-i, pencarum KWSP yang layak serta berusia antara 40 tahun hingga 54 tahun – dimaklumkan perlu memiliki sekurangnya RM3,000 pada Akaun 2 mereka untuk mendapatkan kelulusan pembiayaan peribadi patuh syariah pada kadar kompetitif.

Menurut MBSB, di bawah Ihsan-i pencarum berkaitan akan meraih ansuran bulan lebih rendah bagi tahun pertama – dengan hanya perlu membayar kadar keuntungan sahaja. Selain itu pemberian rebat atas kadar keuntungan turut akan diberi sekiranya pencarum berupaya melunaskan pembayaraan baki pinjaman lebih awal daripada tempoh yang dipersetujui.

Berdasarkan jaminan sebelum ini, tawaran kemudahan pinjaman sedemikian akan mengenakan pencarum pada kadar keuntungan sekitar 4% hingga 5%, ini lebih rendah berbanding kadar pembiayaan peribadi pasaran semasa iaitu antara 8% sehingga 15%.

Untuk sebarang makluman lanjut, pengguna berkaitan boleh layari pautan Fasiliti Sokongan Akaun 2 MBSB Bank bermula 7 April ini.