Artikel

Alliance Bank Perkenal Kad Kredit Maya Bersama Ciri Nombor Kad Boleh Ubah

Dalam usaha mengukuhkan aspek keselamatan transaksi digital negara, Alliance Bank kini secara rasminya memperkenalkan ciri Nombor Kad Dinamik pada penggunaan Kad Kredit Maya VISA Alliance Bank. 

Bersama sokongan VISA, CTOS Digital, Jirnexu, YTL dan Touch ‘n Go Digital – para pengguna boleh menjana nombor kad kredit 16 digit secara rawak bagi setiap transaksi yang dilaksanakan. Untuk makluman perolehan Nombor Kad Dinamik ini boleh dilaksanakan pada setiap transaksi berbeza – sebagai contoh penbayaran pada e-dagang, penstriman atau dompet digital seperti TNG.

Perolehan Nombor Kad Dinamik ini boleh dilaksana melalui dua kaedah iaitu pertama dalam 1 tempoh atau kedua secara langganan iaitu dalam jangka masa panjang.  Dalam dua kaedah ini, pengguna boleh letakkan had tunai yang ingin digunakan dalam perbelanjaan.

Melalui kemudahan itu, ia secara langsung membantu pengguna mengatur perbelanjaan pada setiap transaksi berbeza malah pengguna juga boleh menamatkan Nombor Kad Dinamik yang telah tersedia- dengan membekukan kad tersebut atau melupuskannya secara terus di aplikasi Alliance Bank.

Setakat ini, sejumlah lebih 100,000 kad kredit Alliance Bank telah berkhidmat bersama pelanggan – melalui kerancakkan itu pihak bank menyasarkan pengenalan Kad Kredit Maya bersama penerapan ciri Nombor Kad Dinamik ini mampu mengganda jumlah pengguna tersebut pada tahun ini.