Pembangunan pengangkutan yang menghubungkan dua buah negara iaitu sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura kini dimaklumkan telah mencapai 32.42% kemajuan pada pelaksanaan projek.
Tahap kemajuan itu merangkumi ketersediaan depoh, stesen, jajaran darat serta jajaran marin.
Melalui peratusan kemajuan ini, pihak Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur menjangkakan ia bertepatan dengan sasaran negara untuk memulakan operasi RTS Link ini menjelang tahun 2026 kelak. Secara terperinci, infrastruktur sistem pengangkutan ini disasar siap pada Disember 2024 dan dapat beroperasi mulai Disember 2026.
Adanya kemudahan ini menurut laporan Bernama, kedua negara meletakkan sasaran sehingga 10,000 penumpang mampu ditampung untuk perjalanan sejam sehala pada perkhidmatan. Jangkaan tersebut secara langsung akan menghasilkan pelbagai peluang menarik – merancakkan aktiviti pelancongan, meluaskan pasaran tenaga kerja serta meningkatkan potensi pelaburan kedua negara Malaysia-Singapura.
Untuk makluman, kemudahan RTS Link ini akan menghubungkan laluan sepanjang 4 kilometer antara Singapura di Stesen Woodlands North, manakala Malaysia di Stesen Bukit Cagar.